Sunday, September 2, 2012

Dunia seni Rozita Rohaizad

Nama Rozita Rohaizad mungkin tidak segah nama ibundanya sendiri, Seniwati Mariani, yang memilih bidang lakonan sebagai kerjaya.

Namun, ia tidak mematahkan semangat Rozita untuk meneruskan kerjaya seninya sebagai pelakon dan penyanyi.

Akui Rozita, kini dia masih lagi aktif menyanyi dan berlakon. Dalam proses mempromosikan album ketiganya, Kekal Abadi dan single raya, Raikan Lebaran, Rozita mempunyai strategi tersendiri untuk terus dikenali.

“Saya baru sahaja selesai mempromosikan album saya di pasar raya Tesco Ampang dan Cheras. Album itu memuatkan lapan lagu dan dua daripadanya digunakan dalam filem, Sumpahan Puaka.

“Selain itu, saya juga tengah menghasilkan video klip lagu-lagu saya. Ada beberapa lagu sahaja lagi yang belum selesai.

“Saya juga ada terlibat dalam lakonan termasuk projek RTM, Dokumentari Tan Sri P Ramlee dan Puan Sri Saloma yang bakal disiarkan pada Oktober ini. Selain itu, saya terlibat dalam teater muzikal, Legenda Cinta,” katanya yang pernah berlakon dalam drama bersiri, Tanah Kubur, Sumpahan Puaka dan Gerak Khas.

Terbaru, Rozita juga kini dalam proses menyiapkan single terbaru, Jodoh Tiada.


Lebih suka berlakon

Menceburi kedua-dua bidang seni, ternyata minat Rozita lebih kepada bidang lakonan walaupun mula menyanyi sejak usia belasan tahun lagi.

Kata Rozita, sejak akhir-akhir ini, dia lebih selesa berlakon berbanding menyanyi. Namun, tidak bermakna dia harus melupakan bidang seni suara.

“Saya memang suka berlakon. Mula-mula memang tak minat tapi lama-kelamaan, seronok pula. Saya seronok dalam menghayati watak dan proses lakonan.

“Pun begitu, saya tidak meminggirkan bidang nyanyian yang telah lama menjadi kerjaya saya. Saya akan terus menyanyi untuk menghiburkan peminat.

“Kebanyakan tawaran lakonan yang saya dapat akan disertakan sekali dengan nyanyian seperti Sumpahan Puaka dan teater muzikal. Jadi, ia menyenangkan tugas saya,” katanya yang memiliki ijazah dalam bidang perniagaan di Aramaiti, Australia.


Mula terlibat dalam nyanyian

Mengakui mula terlibat dalam bidang nyanyian sejak usia 17 tahun, Rozita dilamar oleh sebuah kumpulan wanita, Scram, untuk menjadi penyanyi kumpulan itu.

Menurut Rozita, kekurangan ahli dalam kumpulan itu menyebabkan dia setuju untuk menjadi ahli baru.

“Mak memang tidak pernah mendorong saya untuk terlibat sama dalam bidang seni. Lagipun, dalam bidang akademik, saya berjaya untuk layak meneruskan pengajian ke tahap yang lebih tinggi.

“Namun, disebabkan minat, saya korbankan bidang akademik dan mula serius untuk menyanyi. Tetapi, ketika itu saya malu untuk menyanyi dan berada di pentas.

“Mujurlah arwah Puan Sri Saloma banyak membantu saya untuk membuang perasaan malu dan lebih yakin untuk membuat persembahan,” katanya yang turut memiliki kepakaran bermain gitar.

Setelah berhijrah ke ibu kota, Rozita dilamar oleh komposer terkenal, Ahmad Nawab untuk menghasilkan album.

“Pada 1978, saya berjaya menghasilkan album, Hari Yang Ku Nantikan. Sejak itulah saya mula meluaskan kerjaya seni sebagai penyanyi dan bernaung di bawah syarikat rakaman EMI.

“Saloma banyak membantu saya untuk mempromosikan diri kepada masyarakat. Saya sering mengikutnya ke mana sahaja.

“Sehinggalah pada awal 80-an, mak meminta saya untuk berlakon dalam filem Dendam Di Pusara dan Setinggan,” katanya yang tidak pernah mendapat sokongan daripada ibunya sebelum itu.


ps: Info dari internet
WARTAWAN SINAR HARIAN
2 September 2012

No comments:

Post a Comment