Friday, April 17, 2015

Rozita Rohaizad pukau penonton di NSJF


PERTENGAHAN Februari lalu, penyanyi era 70-an, Rozita Rohaizad mewakili Malaysia ke Australia untuk menyertai Canberra National Multicultural Festival 2015.

Walaupun kurang mendapat peluang di negara sendiri, Rozita terus diberi kepercayaan untuk membawa nama negara ke Indonesia menerusi acara, North Sumatera Jazz Festival (NSJF) kelima pada 11 April lalu.

Pertama kali beraksi di pentas festival berkenaan, Rozita tidak menyangka, kehadirannya di Kota Medan itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton di sana.

"Alhamdulillah, saya langsung tidak sangka penerimaan sehebat itu daripada penonton yang hadir. Kali terakhir saya beraksi di sana adalah pada 1982, di mana ketika itu saya mengikut penyanyi terkenal, Anita Sarawak sebagai penyanyi latar dan penarinya.

"Persembahan pada malam itu juga turut mendapat pujian daripada pemuzik-pemuzik di sana yang turut hadir menyaksikan persembahan. Pada pengamatan saya, 700 penonton telah hadir dan ini membuatkan saya semakin bersemangat untuk memperjuangkan jazz nusantara kepada pendengar," katanya lagi.

Tambah Rozita, pada malam berkenaan, dia turut menghiburkan penonton dengan lagu Mahligai Kayangan dan rakan-rakan penyanyi dari Malaysia iaitu penyanyi jazz,

Razak Rahman dan Profesor Hanafie Imam, turut menyampaikan beberapa lagu termasuk When Sunny Gets Blue, Sendirian, Asmara, Jati Diri dan Impressions.

Persembahan pada malam itu juga turut dihadiri wakil gabenor sumatera dan beberapa penyanyi terkenal di Indonesia.

"Selain persembahan, kami juga diberi penghormatan membuat 'WORKSHOP' untuk pelajar muzik, Universiti Negeri Medan menerusi bengkel improvisasi minda melalui muzik.

"Kami juga turut menyertai 'pre event talk' bersama pemuzik-pemuzik Indonesia termasuk Erucakra Mahamehru dan Keenan Nasution. Selepas itu, kami mengikuti sidang media yang diadakan secara publik di Open Air Venue," katanya.

Info berita dari : Sinar Semasa

No comments:

Post a Comment